Thursday 29 August 2013

Kasih Hana Mursyida.


Nun jauh di sana kelihatan seorang gadis sedang menikmati keindahan pantai. Hana Mursyida... seorang gadis yang berpewatakan lembut. Hana mengeluh sendirian. Terlalu berat hatinya untuk melangkah pulang ke rumah. Hana selalu bersendirian jika dia punya masalah. Hana tidak seperti orang lain, punya orang tua yang menyayangi anak mereka bagai menatang minyak yang penuh.

   Hana hanya mempunyai seorang adik yang menyayanginya. Ahmad Daniel, lelaki yang telah menggantikan tempat ayah Hana. Ibunya kini tidak lagi seperti dulu. Sering mengabaikan Hana. Suatu hari, adik Hana iaitu Wafiey Zuhaily telah diserang demam panas. "Ibu, Wafiey sakit bu..." Hanya itulah pujukan terakhir Hana. Puan Zarina langsung tidak mempedulikan anak-anaknya. Sejak berkahwin dengan Ahmad Daniel, dia bagaikan lupa akan kewujudan kedua orang anaknya itu. Bukan itu sahaja, pegangangan agamanya juga luntur.

Sayang Adik

   "Hei!! Kan aku sudah cakap, kalau tak mahu dengar cakap orang tua itulah jadinya. Pergi lagi main tengah-tengah panas tu! Bila sakit mengadu pula!" tengking Puan Zarina. Suaminya pula hanya tersenyum seperti tidak ada sekelumit pun perasaan kasihan kepada anak tirinya itu. Hana benar-benar buntu. Tubuh Wafiey semakin sejuk. Mukanya terlalu pucat. Hana memeluk erat tubuh adiknya itu. Ibu dan ayahnya sedang bersiap-siap untuk keluar ke rumah rakan ayahnya.

   Hana terus berlari mencapai gagang telefon lalu mendail nombor milik Ustazah Rozita. Dia memberitahu tentang keadaan adiknya. Hana hanya mampu memandang ibu dan ayahnya yang terus hilang di balik daun pintu.

   "Sabar ya Wafiey... kejap lagi ustazah kak Hana bawa Wafiey ke hospital." Hana hanya mampu berdoa agar adiknya cepat sembuh.

   Seminggu selepas itu, Hana sudah boleh bersekolah seperti biasa kerana Wafiey sudah sembuh spenuhnya. Waktu rehat sudah tiba tetapi Hana hanya mengisi waktu rehat dengan membaca buku di Pusat Sumber. "Hana, awak tak makan?" tanya satu suara. "Eh Ustazah! Saya ingatkan siapa tadi. Saya tak makan hari ini sebab duit ini untuk Wafiey, Ustazah," jawab Hana tenang. Ustazah Rozita hanya mengangguk tanda mengerti akan masalah yang sedang muridnya hadapi.

   "Hana, Ustazah kagum dengan kamu. Walaupun kurang kasih sayang dari kedua ibu bapa tapi kamu masih mampu menyayangi adik kamu," ujar Ustazah Rozita.

   Hana hanya mampu tersenyum walaupun terlalu sukar baginya untuk membendung perasaan sedih itu. "Alhamdulillah Ustazah. Berkat dorongan Ustazah itulah yang membuatkan saya masih mampu menyayangi adik saya walaupun saya kurang disayangi," jelas Hana dalam nada gurauan.

Tergamam

   "Ibu, mari makan bu. Hana sudah siapkan makan malam. Wafiey pun tengah tunggu ibu ni." Panggil Hana sebaik sahaja ibunya menuruni anak tangga. "Kau makanlah! Aku sudah makan tadi." Hana hanya menggeleng mendengar jawapan dari ibunya.

   Selepas makan, Hana dan Wafiey mengemas meja makan. Tidak beberapa lama selepas itu, terdengar sayup-sayup azan berkumandang. "Wafiey, sudahlah. Jom kita naik atas dan solat sama-sama. Wafiey pergilah naik dulu, kak Hana naik kemudian," kata Hana. "Baiklah kak Hana," jawab Wafiey.

   "Ibu, sudah masuk waktu solat Isyak. Kita solat sama-sama ya," Hana mengajak ibunya dengan lembut. "Ish! Kau tak nampakkah aku sedang menonton TV?" Tengkingan itu benar-benar membuatkan Hana terpempan. "Ibu, tak baik begitu. Solatkan lebih penting. Ibu sudah lupakah, dulu ibu yang selalu memarahi Hana jikalau tidak solat," kata Hana.

   "Sudah! Kalau kau nak pergi solat, pergilah! Jangan kau pandai-pandai nak mengajar kami!" ayah tiri Hana menyampuk. Hana benar-benar tergamam. "Tapi ayah... Ibu tak pernah tinggal solat sebelum ini, Hana tak sanggup lihat ibu mahupun ayah terus hanyut dengan dosa," Hana memberitahu semua yang dipendamkan selama ini.

   Tiba-tiba satu tamparan hinggap di pipi Hana. "Aduh! Ampun ayah. Hana tak bermaksud... ." Belum sempat Hana ingin menghabiskan kata-kata, ayah tirinya mencapai sebatang rotan lalu melibas ke belakang Hana. Ibu tergamam. "Sudahlah bang, Hana tak bersalah," pujuk ibu Hana. Satu perasaan bersalah dan kesal timbul apabila melihat Hana diperlaku begitu. Namun, Ahmad Daniel seorang yang begitu sensitif apabila ada yang berani menegurnya tambah-tambah lagi soal agama.

Kemalangan

   Hana terpaksa berlari keluar rumah. Ayah tirinya bagai dirasuk hantu. "Ya Allah, selamatkan aku dan Wafiey," rintih Hana. Tiba-tiba, Dbum!! Hana terlentang di atas jalan raya. Darah mengalir di seluruh tubuhnya. Hana dirempuh sebuah kereta.

"Bunyi apa tu?" Wafiey menjenguk kepala di luar tingkap. Satu kemalangan telah berlaku. Wafiey terus berlari turun ke bawah untuk memberitahu Hana. Tapi... Wafiey mencari-cari kakaknya. Wafiey bingung melihat ibunya sedang menangis. Ayah pula sedang bersandar di sofa seperti baru selesai bertengkar.

   "Ibu, mana kak Hana?" ibu menggeleng-geleng kepala sambil menangis. "Ibu, ada kemalangan di luar rumah kita," terang Wafiey. Bagai hendak luruh jantung Puan Zarina. Hanya Hana di mindanya. Puan Zarina terus berlari ke luar rumah. Dia menyeli-nyelit di celah orang ramai.

   "Hana!! Bangun nak, ampunkan ibu... ampunkan ibu, Hana..." Puan Zarina terus meraung di tepi sekujur tubuh yang dibasahi dengan darah. Hana memandang ibunya sambil menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan kertas yang sudah renyuk. Dihulurkan kertas itu pada ibunya. "Kak Hana... bangun! Wafiey sayangkan kak Hana..." Wafiey menangis teresak-esak. "Wafiey, maafkan kakak. Wafiey kena jaga ibu selepas ini. Wafiey kena sayang ibu ya. Kak Hana sayang Wafiey," Itulah kata-kata terakhir buat adik kesayangannya. 'Selamat tinggal adikku Wafiey Zuhaily'.

Jalinkan kembali hubungan
dengan Allah SWT,
Yang sudah lama terputus...
Dambalah selalu bimbingan
dan rahmat dari-Nya,
Kerana,
Allah SWT memiliki rasa
kasih sayang yang paling
agung,
Untuk hamba-Nya
yang selalu ingat kepada
-Nya.

No comments:

Post a Comment

Twitter Bird Gadget